KEPUTUSAN Mesyuarat Jemaah Menteri
seperti dimaklumkan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali,
kelmarin, mengenai penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi mengkaji
pengendalian kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan amat
wajar kerana terdapat isu masih belum diberi pertimbangan oleh Mahkamah
Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Isu itu ialah status pemilikan
Kesultanan Johor terhadap Singapura berbangkit daripada Perjanjian bertarikh 2
Ogos 1824 antara Sultan Husain Muhammad Shah dan Temenggong Seri Maharaja Abdul
Rahman dengan Kerajaan British.
Sebelum 2 Ogos 1824, Singapura
berada di bawah kedaulatan Kesultanan Johor-Pahang-Riau Lingga dan termasuk
dalam hak milik wilayah serta pungutan cukai Temenggong Seri Maharaja Abdul
Rahman.
Dalam Perjanjian 1824 itu juga
terdapat batasan kepada wilayah perairan Singapura, iaitu setakat 10 batu dari
pantainya sahaja.
Justeru, RCI juga perlu diberikan mandat untuk turut
menyiasat keabsahan Perjanjian 2 Ogos 1824 dan mengemukakan pandangan terhadap
hak milik Kesultanan Johor diwarisi Kerajaan Johor sekarang terhadap tanah
seluas Singapura pada hari ini.
Ini kerana bukan sahaja pelantikan Tengku Husain sebagai
Yang di-Pertuan Besar Kesultanan Johor-Pahang-Riau Lingga atau Sultan Johor
pada 6 Februari 1819 oleh Thomas Stamford Raffles tidak mengikut adat Melayu,
malah menurut Gabenor Murchison, kedudukan Sultan Husain sebagai Sultan Johor
tidak pernah diakui oleh Negeri Melayu lain serta tidak pernah menikmati
apa-apa hasil di Johor dan menjalankan kegiatan politik.
Gabenor Butterworth dalam laporannya kepada Kompeni Inggeris
di Benggala merumuskan Sultan Husain hanyalah 'tokoh boneka' diangkat Raffles
untuk mendapatkan hak terhadap Singapura demi kepentingan Inggeris. Beliau
sebaliknya menegaskan hanya Temenggong Ibrahim Seri Maharaja yang sempurna
dilantik mengikut adat istiadat Melayu.
Yang di-Pertuan Besar Kesultanan Johor-Pahang-Riau Lingga
yang sah dilantik ketika itu ialah Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah. Inggeris
sendiri mengakui kedudukan Sultan Abdul Rahman sebagai Yang di-Pertuan Besar
Kesultanan Johor-Pahang-Riau-Lingga.
Ini dibuktikan dalam Perjanjian 19 Ogos 1818, antara William
Farquhar dengan Yam Tuan Muda Raja Ja'afar dimaktubkan 'Dengan kuasa yang
diberikan kepadanya oleh Seri Sultan Abdul Rahman Shah, Yang di-Pertuan
Kerajaan Johor-Pahang dan daerah-daerah takluknya.'
Belanda turut mengiktiraf kedudukan Sultan Abdul Rahman
dalam perjanjian bertarikh 26 November 1818.
Muslihat Inggeris dapatkan Singapura
Kegagalan Inggeris memajak Singapura sebagai pelabuhan
baharu menggantikan Kota Melaka yang perlu diserahkan kembali kepada Belanda
pada 21 September 1818 mengundang kemarahan Raffles, Leftenan-Gabenor Kompeni
Inggeris ketika itu sehingga beliau merencanakan muslihat untuk mendapatkan
Singapura.
Mengikut adat Melayu, Yang di-Pertuan Besar memegang
kedaulatan dan berkedudukan lebih tinggi daripada pemerintah wilayah. Terdapat
prerogatif yang hanya dimiliki Sultan Yang di-Pertuan Besar seperti menjadi
ketua pemerintah kesultanan dan agama Islam; mengabsahkan adat Melayu sebagai
undang-undang; menentukan hubungan diplomatik; mengisytiharkan perang;
memutuskan hak kewilayahan; memperkenankan hukuman bunuh dan hak kesultanan
lain seperti penganugerahan dan kurniaan.
Selepas berjaya memberi tekanan kepada Temenggong Abdul
Rahman untuk memasuki perjanjian sementara pada 30 Januari 1819, Raffles
menyusun perjanjian kedua pada pada 6 Februari 1819 selepas Tengku Husain
diangkat dengan gelaran Sultan Husain Muhammad Shah pada hari sama.
Pemasyhuran itu dibacakan Encik Yahya, iaitu jurutulis
William Ferquhar. Perjanjian 1819 ditandatangani dengan Sultan Husain dan
Temenggong Abdul Rahman untuk membolehkan Inggeris menguasai penempatan dan
membina loji di Singapura.
Selepas berjaya meletakkan pengaruh di Singapura, Inggeris
meneruskan muslihat sehingga Sultan Husain dan Temenggong Abdul Rahman terdesak
dipengaruhi masalah kewangan untuk memasuki Perjanjian 2 Ogos 1824 bagi maksud
penyerahan Singapura kepada Kerajaan Inggeris.
Keabsahan Perjanjian 1824 itu boleh dipertikai kerana Sultan
Husain diangkat oleh Inggeris sedangkan Sultan Abdul Rahman masih sah bertakhta
mengikut adat Melayu. Meskipun Singapura sepanjang tempoh 1819 hingga 1830
berada dalam wilayah pemerintahan dan pungutan cukai Temenggong Abdul Rahman,
penyerahan wilayah tidak boleh dilakukan tanpa perkenan Yang di-Pertuan Besar
Sultan Abdul Rahman.
Meskipun terdapat Perjanjian Inggeris-Belanda bertarikh pada
17 Mac 1824 bertujuan membahagikan wilayah pengaruh politik antara Inggeris
dengan Belanda, ia tidak secara automatik mempunyai kesan perundangan terhadap
Yang di-Pertuan Besar Sultan Abdul Rahman yang tidak terlibat
menandatanganinya.
Hanya pada 29 Oktober 1830, Kesultanan
Johor-Pahang-Riau-Lingga terbubar implikasi perjanjian antara Sultan Abdul
Rahman dengan Residen Riau, wakil Kerajaan Belanda. Petikan penting Perjanjian
29 Oktober 1830: "Perjanjian 17 Mac 1824 ini di London, antara Yang
di-Pertuan Besar atas Netherland dengan Yang di-Pertuan Besar atas Great
Britain dan Ireland, kerana sebab Perjanjian itu, jadi Johor dan Pahang, tiada
lagi di bawah Yang di-Pertuan Besar Lingga. Maka pada sekarang ini perjanjian
yang lama, yang dibuat oleh Govermen Netherland dengan Yang di-Pertuan Besar
Johor dan Pahang dan Riau dan Lingga dan segala takluknya itu, tiadalah boleh
dipakai begitu".
Dengan berkuatkuasanya Perjanjian 1830, maka pemerintah
Johor dan Pahang terpisahlah daripada Riau-Lingga. Pemerintah Johor dan Pahang
memperoleh kedaulatan untuk berkerajaan sendiri lantaran berstatus sebagai Yang
di-Pertuan Besar dalam wilayah masing-masing seperti diwarisi Sultan Johor dan
Sultan Pahang pada hari ini.
Isu keabsahan Perjanjian 2 Ogos 1824 menimbulkan kausa
tindakan oleh Kerajaan Johor di bawah pemerintahan Sultan Ibrahim Iskandar
melalui Kerajaan Persekutuan atas kepentingan terhadap wilayah tanah dan
perairan Singapura. Pada hari ini, peranan RCI akan dilihat lebih berwibawa
jika sekiranya terma itu dimasukkan sama dalam penubuhannya.
Penulis adalah Pakar Perlembagaan Institut Antarabangsa
Pemikiran Islam dan Tamadun, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan
Profesor Madya Fakulti Pengurusan Industri Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan
Abdullah (UMPSA)