YM FRAME 8@0,75x

KEBAWAH KAUS YANG AMAT MULIA ORANG KAYA SERI RAJA MERAH

YAM DATO MOHD NAZROL BIN DATO PADUKA MAHAMAD SUPAR
DATO UNDANG NANING MELAKA KE-22

PERUTUSAN RASMI

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Salam sejahtera dan salam perpaduan.

 

Saya dengan penuh rasa tanggungjawab dan keprihatinan ingin menzahirkan pendirian tegas berhubung isu penghinaan terhadap institusi raja dan agama di negara ini. Sejak sekian lama, institusi raja menjadi payung kedaulatan negara, manakala agama menjadi asas kepada pembentukan akhlak, perpaduan dan kesejahteraan rakyat jelata.

 

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

 

Ketahuilah bahawa adat yang sah bukanlah permainan manusia, dan kuasa Dato’ Undang yang diangkat menurut susunan adat tidak boleh dipandang ringan, diperkecilkan, apatah lagi dicabar sesuka hati.

 

Adat yang sebenar bukan berdiri atas hawa nafsu, kepentingan peribadi atau perebutan kuasa. Adat itu berpaksikan syariat, dipandu hukum Allah dan dipelihara demi menjaga tertib, maruah serta kesejahteraan masyarakat.

 

Adat bersendi hukum, hukum bersendi Kitabullah.

 

Maka janganlah ada sesiapa merasa dirinya lebih tinggi daripada aturan yang telah disepakati dan diwarisi. Jangan kerana pangkat, pengaruh atau sokongan manusia, lalu berani melanggar batas dan mencabar kuasa Dato’ Undang yang sah.

 

Ingatlah, kuasa manusia ada penghujungnya. Pangkat boleh hilang, pengaruh boleh lenyap dan nama boleh dilupakan. Tetapi setiap perbuatan akan tetap dihitung di hadapan Allah SWT.

 

Barang siapa sengaja merosakkan tertib adat, memecah-belahkan masyarakat dan mempertikaikan amanah yang sah tanpa hak, maka dia bukan sahaja mencabar aturan manusia, bahkan sedang membuka pintu kepada fitnah dan perpecahan.

 

Jangan diuji kesabaran orang yang memilih diam kerana menjaga adab. Diam bukan bererti lemah. Berlapang dada bukan bererti takut. Dan menjaga tertib bukan bermakna seseorang boleh dipijak sesuka hati.

 

Saya menyeru agar semua pihak kembali kepada adab, syariat dan batas kuasa masing-masing. Hormatilah yang berhak dihormati. Taatilah aturan yang sah selagi tidak bercanggah dengan hukum Allah.

 

Jangan kerana mahu menunjukkan siapa paling berkuasa di dunia, akhirnya lupa bahawa di atas segala kuasa manusia, ada kuasa Allah Yang Maha Tinggi.

 

Daulat adat kerana syariat.

Teguh syariat kerana taat kepada Allah.

Dan binasalah sesuatu kaum apabila hawa nafsu diletakkan lebih tinggi daripada hukum dan adab.

 

Akhir titah, Saya menegaskan bahawa sebarang tindakan yang mencabar kedaulatan institusi raja dan kesucian agama akan ditangani mengikut lunas undang-undang yang berkuat kuasa. Marilah kita bersama-sama mempertahankan kedaulatan negara dan memelihara keharmonian demi generasi yang akan datang.


Sekian, Wabillahi taufik Wal hidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.