Sistem sosial adalah suatu susunan bahagian. Sistem sosial adalah suatu susunan bahagian yang berkait dan saling perlu memerlukan untuk membentuk satu kesatuan. Sistem ini merupakan model konseptual untuk menganalisis sesuatu fenomena yang agak kompleks dan merupakan analisis sesuatu sebahagian daripada struktur sosial yang lebih meluas lagi. Contoh sistem sosial ialah sistem persanakan, sistem ekonomi, sistem politik, sistem undang-undang dan lain-lain lagi. Kesemua peserta ini saling berkait rapat antara satu sama lain. Contohnya kita tidak akan dapat mengkaji sistem ekonomi suatu masyarakat tanpa mengkaji sistem persanakannya, politiknya dan undang-undangnya. Brown (1952 versi Norazit 1993:159) pula berpendapat dalam kehidupan sosial yang tertentu akan terdapat perhubungan yang saling berkait dan perlu memerlukan antara bahagiannya yang berbagai-bagai.
Perhubungan ini dikenali juga sebagai hubungan perpaduan. Jadi seseorang yang berminat untuk mengkaji sesuatu sistem undang-undang akan mendapati bahawa sistem tersebut berkait rapat dengan perlembagaan, politik, kehidupan ekonomi, agama, iklim, jumlah penduduk, adat dan tertib serta etos masyarakat tersebut.
Oleh itu, masyarakat Naning amat mementingkan kestabilan sistem hidup bermasyarakat sehingga menjadi sebuah tanggungjawab antara anggota untuk saling bantu- membantu (Mohd Shah 2000:05). Setiap masalah dalam masyarakat akan dibawa ke meja rundingan dan mereka akan bermusyawarah mencari kata sepakat bagi sesuatu perkara.
Menurut Muhammad Syukri (1985:12), musyawarah bermaksud kaedah untuk membuat keputusan yang bersabit dengan perkara yang melibatkan individu lain dari beberapa pihak yang berkenaan. Jadi di Naning, terdapat istilah untuk membincangkan sesuatu perkara secara bermasyarakat iaitu istiadatnya yang dikenali sebagai Adat Berkampung. Menurut Mohd Shah (2000:46), Adat Berkampung di Naning dapat juga dilihat dalam situasi perkahwinan. Apabila seseorang lelaki sudah ‘gilo nana’ (gila bayang) kepada seseorang perempuan maka diadatkan Lombago Nan Bosokat (Lembaga Nan Bersekat) sebelah pihak perempuan dengan Lombago Nan Bosokat sebelah pihak lelaki untuk berbincang terlebih dahulu bagi mendapatkan persefahaman dan berbincang untuk menyatukan pasangan tersebut. Keperluan mengadakan adat ini penting bagi melancarkan lagi segala perkara yang diperlukan.
Selain itu, Adat Berkampung di Naning juga dapat dilihat apabila ingin memilih dan melantik seseorang Datuk Naning yang baharu. Menurut Abu (2021) menyatakan Adat Berkampung merujuk kepada aktiviti bermesyuarat antara empat suku utama, satu suku Nan Bergajah Tunggal dan 44 subsuku dalam Naning bagi melantik seorang Datuk Naning yang baharu untuk mentadbir wilayah Naning. Datuk Paduka Tuan (setiausaha) yang bertanggungjawab akan memanggil kepala-kepala adat (ketua-ketua adat) yang turut digelar sebagai Datuk Lembaga dari setiap suku, Pembesar Waris, Pembesar Tiang Balai, Ibu Soko dan individu yang cerdik pandai berkaitan dengan adat Naning untuk berkampung. Selepas itu, apabila semua ahli yang dijemput telah hadir, barulah boleh mencalon seterusnya melantik Datuk Naning yang baharu. Datuk Naning yang digantikan atau dilantik adalah disebabkan beberapa faktor antaranya seperti Datuk Naning meninggal dunia, diluruhkan pesaka, sakit dan sebagainya.
Bagi faktor sosial yang kedua pula dapat dilihat dari segi peranan wanita di Naning.
Terdapat sebuah jawatan tertinggi dalam sistem politik Naning iaitu sebuah kuasa mutlak yang dserahkan kepada kaum wanita bagi melantik jawatan yang telah diperuntukkan ini. Setiap suku mempunyai seorang penguasa suku dari kalangan wanita yang mempunyai kuasa mutlak dalam menentukan soal hak dalam sesebuah suku. Jawatan ini dikenali sebagai Ibu Soko (Ibu Saka). Menurut Deris (2021), Ibu Soko merupakan wanita yang paling berumur mewakili setiap perut (keluarga) dalam Keluarga Nan Bergajah Tunggal bagi menguruskan segala hal yang berkaitan. Jika diteliti dari segi bahasa, soko menurut Mohd Shah (2000:74) bermaksud ibu atau wanita yang bertanggungjawab dalam menurunkan zuriat dalam sesebuah suku.
Justeru, Ibu Soko dipertanggungjawabkan dalam kebudayaan Naning sebagai sebuah kuasa dalam menjaga hak dan kepentingan dalam suku mereka. Sebagai contoh, peranan yang wanita kendalikan antara salah satunya adalah tanah. Menurut Norazit (1993:173), tanah merupakan salah satu faktor pengeluaran dan merupakan harta atau modal yang paling dihargai dalam kebanyakan masyarakat. Tanah adalah satu komoditi yang penting. Dari segi ekonomi kepentingan tanah boleh dilihat daripada dua aspek. Tanah selain berfungsi sebagai tapak rumah, juga berfungsi memberi kehidupan kepada manusia. Tanah yang menghasilkan ekonomi ini termasuklah tanah sawah, tanah kelapa, tanah dusun, tanah kebun getah, tanah kebun sayur dan lain-lain lagi.
Selain itu, tanah juga dikaitkan dengan maruah diri seseorang. Tanah adalah simbol harga diri. Orang yang memiliki tanah walaupun keluasannya kecil tidak akan berasa hina kerana dia tidak terpaksa bergantung hidup atas belas kasihan orang lain. Maruah dan harga diri seseorang bukan sahaja dinilai melalui kaca matanya sendiri tetapi juga melalui kaca mata masyarakat. Menurut Norazit (1993:174) tanah juga berfungsi sebagai modal tetap yang akan diusahakan untuk menampung hidup seseorang individu itu sekeluarga. Hanya pada ketika yang sangat mendesak sahaja baru tanah akan digadai atau dijual. Mengikut Adat Perpatih pula tanah yang diwariskan mengikut adat dikenali sebagai tanah pusaka. Tanah pusaka adalah hak perempuan kerana perempuan dikenali sebagai waris pusaka dalam Adat Perpatih. Umumnya tanah pusaka adalah hak milik perut atau suku tanah ini telah diturunkan daripada ibu kepada anak-anak perempuannya dan generasi perempuan yang berikutnya (Nur Amirah dan Mat Noor, 2019:02). Jadi tanah pusakanya boleh dimiliki oleh anak-anak perempuan perut atau suku itu sahaja.
Peranan wanita di Naning memainkan peranan yang penting kerana apabila berkaitan dengan tanah, pihak wanita akan menjadi keutamaan dalam memperolehnya. Menurut Luqman (2021), individu di Naning pada zaman dahulu apabila suami pergi merantau, isteri akan memikul tanggungjawab menjaga tanah dan sebagainya. Perkara ini seiring dengan peribahasa iaitu ‘orang lelaki pergi ke balun (merantau), orang wanita menjaga tanah”.
Wanita di Naning telah diibaratkan sebagai penjaga yang mana wanita tiada hak secara penuh tetapi hanya ada hak mengurus sahaja. Selarilah juga dengan falsafah dalam Adat Naning iaitu; hak memberi wanita hak memakai lelaki. Perkara ini diperkukuhkan lagi dengan hasil kajian daripada (Jabatan Mufti Negeri Sembilan, 2016) yang telah merumuskan bawah tanah adat merupakan milik suku dan ia nya bukan milik peribadi. Oleh itu, pemilikan tanah adat tidak boleh menjalankan aktiviti penjualan mahupun menggadai tanah adat tersebut.
Tambahan pula, peranan wanita dikukuhkan lagi dengan ayat Al-Quran dalam surah At-Taubah ayat 71 yang memberikan hak wilayah kepada perempuan daripada lelaki. Wilayah dalam ayat tersebut boleh dieertikan sebagai mampu memberi penguasaan, kepimpinan, kerjasama dan saling tolong menolong. Walau bagaimanapun, perkara tersebut perlu dilihat atas dasar kemampuan seseorang wanita dan sejauh mana ia tidak mendatangkan kesusahan, selagi itu wanita layak diangkat darjatnya. Sejarah telah menunjukkan kedudukan wanita pada zaman Nabi Muhammad S.A.W. yang tidak hanya dianggap sebagai seorang isteri, pendamping dan pelengkap lelaki saja, tetapi wanita juga dipandang sebagai manusia yang memiliki kedudukan yang setara dalam hak dan kewajipan dengan manusia lain di hadapan Allah S.W.T. Sebagai contoh, mulai dari Aisyah (Umul Mukminin) memimpin perang Jamal, Asy-Syifâ seorang wanita pertama yang pandai menulis di zaman Rasulullah dan Khawlah binti Tsa’labah ditugaskan oleh Khalifah Umar al-Khattab sebagai petugas yang mengendalikan pasar di Kota Madinah.
Seterusnya, hubungan sistem Adat Naning dengan Islam dari aspek sejarah kebudayaan dalam bentuk sosial berkaitan juga dengan konsep fisabilillah. Menurut Hailani (2009:02), yang memetik pendapat Fuqaha’ dan Mufassirin mentafsirkan perkataan fisabilillah para ulama terbahagi kepada dua kumpulan iaitu pertama, berperang pada jalan Allah S.W.T dan segala yang berkaitan dengannya (al-Qaradawi 2001:109-18). Kedua, kumpulan yang meluaskan maksud fisabilillah tidak memberi makna yang khusus kepada berperang pada jalan Allah semata-mata iaitu dengan mentafsirkannya kepada segala perbuatan yang bertujuan mendekatkan diri kepada Allah s.w.t dan segala perbuatan yang dilakukan sebagai ketaatan kepada Nya. Kedua, mereka yang mentafsirkan maksud fisabilillah mencakupi perkara yang berkait dengan kepentingan umum (masalih al-ammah) semata-mata (al-ashqar 2004:2/767- 81).
Hakikatnya, pengertian jihad tidaklah berfokus kepada golongan kafir (infidel) sahaja malah medan-medan jihad cukup luas dan ia meliputi sasaran seperti jihad menentang syahwat dan hawa nafsu, menentang hasutan syaitan, menentang golongan munafik dan menentang orang-orang zalim serta fasik. Jihad juga tidak semestinya dalam peperangan di jalan Allah malah ia boleh berlaku dalam mencari ilmu iaitu dengan belajar seni mempertahankan diri seperti silat. Menurut Wan Mohd, Saghir (2011), peranan ulama dalam silat hanya dapat ditonjolkan melalui pemikiran Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan keterlibatan Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani dalam jihad fisabilillah. Penggunaan senjata Qalam untuk mengajar umat Melayu dan juga senjata pedang untuk perjuangan demi mempertahankan kesucian Islam daripada penjajah dalam ilmu persilatan juga telah ditonjolkan melalui pemikiran ulama besar Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan keterlibatan Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani dalam jihad fisabilillah.
Ilmu persilatan yang menggunakan wirid, hizib, doa, dan yang sejenis dengannya adalah berasal dari ajaran Islam yang benar. Selain itu, tidak dapat dinafikan juga terdapat penggunaan mantera, jampi, serapah dan yang sejenis dengannya digunakan dalam ilmu persilatan. Oleh itu, perkara yang baik boleh diamal dan digunakan namun sebaliknya pula terdapat perkara yang mengandungi unsur khurafat yang menjerumuskan ke arah syirik yang bertentangan dengan akidah Islam. Ulama-ulama Nusantara yang melakukan jihad fisabilillah demi untuk memperjuangkan Islam dan mempertahankan negeri-negeri Melayu dari dijajah oleh bangsa yang bukan Islam adalah wajib diteruskan secara berterusan dari satu generasi ke satu generasi yang berikutnya.
Konsep sosial di Naning juga turut menekankan aspek Jemaah dan Islam sebagai budaya kehidupan. Menurut Norazit (1993), jemaah adalah segala perbuatan yang dilakukan mestilah berlaku dalam bentuk kumpulan sahaja. Di Naning, tidak menggunakan konsep ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ iaitu hasil yang diperoleh untuk diri sendiri tetapi menggunakan konsep sara kumpulan. Menurut Luqman (2021), konsep sara kumpulan bermaksud segala perbuatan yang diusahakan secara bersama-sama hasilnya juga akan diperoleh secara sama rata. Sebagai contoh, satu bendang sawah kalau dilakukan secara berkumpulan maka hasilnya akan dimakan secara bersama-sama atau menggunakan hak yang sama. Hal ini dikatakan demikian kerana, masyarakat Naning merupakan masyarakat pertanian yang amat mementingkan kejayaan secara berkumpulan. Perkara ini juga diibaratkan seperti ‘ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni’ atau ‘hati gajah sama dilapah, hati kuman sama
dicicah’ yang membawa maksud jika melakukan sesuatu perkara secara bersama-sama maka pengagihan secara adil atau sama banyak perlu dilakukan demi mengekalkan keamanan dan keharmonian sesebuah masyarakat dan perkara inilah yang telah diterapkan dalam masyarakat Naning sejak dahulu lagi. Oleh itu, sistem kemasyarakatan adalah penting dalam kebudayaan masyarakat Naning kerana sistem kehidupan mereka saling bergantungan antara satu sama anggota yang lain.
Masyarakat Naning juga majoritinya Islam sebagai budaya hidup telah mengamalkan beberapa adat yang tidak melanggar hukum syarak antaranya seperti kenduri. Menurut Norazit (1993:72), kenduri adalah upacara sosial yang penting dalam kebanyakan kebudayaan. Kenduri bermaksud memberi jamuan makan dengan orang yang dijemput. Makanan yang dihidangkan mungkin ringan seperti kuih-muih sahaja ataupun yang berat seperti nasi dan makanan lain.
Kenduri juga biasanya dikaitkan dengan upacara yang tertentu. Misalnya, kenduri kahwin yang berkaitan dengan ikatan persaudaraan antara dua ahli keluarga dan memerlukan masyarakat bagi membantu memudahkan urusan perkahwinan yang berlangsung. Konsep berkaitan perkahwinan ini telah membuktikan hubungan sesama Jemaah di Naning amat penting dalam melicinkan segala perkara yang berlaku.
Selain itu, terdapat juga adat lain yang turut memerlukan masyarakat Naning perlu berganding bahu untuk menjayakan adat tersebut. Adat Bokorjan (Berkerjan) merupakan sebuah ritual yang wajib dijalani oleh setiap bakal pewaris Datuk Naning kerana adat ini sebagai simbol kemuliaan dan kedaulatan di Naning serta penduduknya (Luqman, 2018: 173).
Adat ini mempunyai etika dan syaratnya yang tersendiri serta aturan-aturannya. Di dalam adat ini juga, boleh dilihat kepada proses-proses sebelum, semasa dan selepas melakukan istiadat tersebut (Abu, 2021). Justeru itu, jika terdapat proses-proses untuk melakukan istiadat maka tenaga kerja diperlukan bagi melancarkan lagi majlis tersebut. Oleh itu, setiap suku di Naning akan mengambil tanggungjawab dalam bergotong-royong secara bersama-sama bagi menyambut kehadiran Datuk Naning yang baharu.
Kebudayaan Naning juga dapat dilihat dalam Adat Menyalang atau dipanggil sebagai menikam jejak. Adat Menyalang ini merupakan kedatangan pasangan yang baru berkahwin ziarah ke rumah saudara mara dengan membawa ‘boko’. Menurut Anim (2012) ‘Boko’ bermaksud bekas untuk mengisi wajik, penganan (dodol) atau kesirat. Boko merupakan buah tangan yang dibawa semasa menyalang dilakukan. Diadatkan pengantin baru yang menyalang membawa manis-manisan apabila bertemu dengan saudara mara. Sebagai tuan rumah yang menerima kehadiran tetamu penganti baru, maka individu tersebut perlu memberi dan membalas dengan cenderahati. Antara barang yang boleh diberi atau dibalas adalah sama ada sepasang kain batik, pinggan mangkuk atau apa-apa sahaja barang yang boleh menyenangkan pasangan yang baru berkahwin dalam membina rumah tangga. Saudara mara juga boleh memberi nasihat kepada pasangan yang baru berkahwin itu dalam mengekalkan keharmonian berumah tangga. Jelas dapat dilihat dengan berbekalkan boko sahaja kesan yang diperoleh dari menyalang amat mendalam. Hal ini kerana sifat hormat-menghormati antara pengantin dan saudara mara secara automatik ditunjukkan dan secara rasionalnya pasangan pengantin tersebut juga tidak akan berani untuk berbuat perkara yang memalukan dirinya dekat adik saudaranya seperti bercerai dan sebagainya. Oleh sebab inilah adat pada zaman dahulu kebanyakannya bermain dengan psikologi sehingga menyebabkan rumah tangga mampu bertahan lama.
Rumusan
Adat Perpatih Naning menggunakan hukum Islam sebagai asas dalam membentuk kebudayaan mereka. Pelbagai perkara yang dapat dilihat saling berkait rapat dengan hukum Islam terutamanya berkenaan dengan ilmu syarak. Sejarah Naning yang berdiri selama 700 tahun menggunakan prinsip keislaman dan sistem kebudayaan tempatan untuk membentuk sebuah masyarakat yang kompleks. Maka, tidak hairanlah Naning terlibat dalam pelbagai peperangan menentang penjajah dari abad ke-15 sehingga tahun 1832. Keimanan yang telah berakar umbi dapat dilihat daripada keselarasan kebudayaan masyarakat tempatan. Justeru, perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam sekali gus telah menjadi hal yang bercanggah dengan adat.
Penerangan ini telah membuktikan bahawa Adat Perpatih Naning merupakan sebuah sistem yang diasimilasikan dengan ajaran hukum Islam.
Rujukan :
Abdullah (1992) Materi Pokok Pendidikan IPS-2: Buku 1, Modul 1, Jakarta: Departemen Pendidikan dan Kebudayaan , PPPG Tertulis.
Abdullah Zakaria Ghazali (1982). Perang Naning 1832, Jurnal Sejarah Melaka. (9). Kuala Lumpur: Persatuan Muzium Negara.
Abdul Rahman Abdullah (2005). Wacana Falsafah Ilmu: Analisis Konsep-konsep Asas dan Falsafah Pendidikan Negara. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distribution.
Abu Ibrahim (2021). Temu bual antara pengkaji dengan Abu Ibrahim selaku Datuk Nan Kaya, Tiang Balai Naning dari suku Seri Melenggang di rumah kediamannya di Kampung Cherana Putih, Taboh Naning, Alor Gajah pada pukul 10 pagi bertarikh 3 Julai 2021.
Ahmad Dahlan (2015). Sejarah Melayu. Edisi kedua. Jakarta, Indonesia: Kepustakaan Populer Gramedia (KPG).
Darus Ahmad (1957). Dol Said Pahlawan Naning. Edisi Pertama. Sinaran Bros, Bukit Mertajam: Pulau Pinang.
Deris Hj. Yunus (2021). Temu bual antara pengkaji dengan Deris Hj. Yunus selaku Datuk Maulana Garang, Pembesar Isi Balai Naning di rumah kediamannya di Kampung Cherana Putih, Simpang Ampat, Alor Gajah pada pukul 2 petang bertarikh 3 Julai 2021.
Hailani Muji Tahir (2009). Kertas Kerja Pentafsiran dan Pelaksanaan Agihan Zakat Fisabilillah Mengikut Keperluan Semasa Di Malaysia. Majlis Agama Wilayah Persekutuan. Capaian dimuat turun pada 4 Julai 2021 dari https://www.maiwp.gov.my/i/images/maiwp/kertaskerja/pentafsiran-fisabilillah.pdf Hamka (2016). Sejarah Umat Islam. Edisi 2016. Selangor: PTS Publications & Distribution.
Lipsey, Richard G. dan Steiner, Peter, O. (1981). Economics, New York: Harper & Row, Publisher.
Luqman NulHakim Harzamar (2015).Menjejaki Datuk Perpatih Nan Sebatang: Pengasas Penempatan Awal Masyarakat Minangkabau di Naning, Melaka. Tesis Ijazah Sarjana Muda, Akedemi Pengajian Melayu: Universiti Malaya ___ (2018). Struktur Sistem Kebudayaan Naning dari Aspek Sejarah Kebudayaan. Tesis Ijazah Sarjana, Akademi Pengajian Melayu. Kuala Lumpur: Universiti Malaya. ___ (2018). Sejarah Naning: Tanah Berkeramat Penghulu Berdaulat. Kuantan: Geroda Merah Press.
Misnon Jamil (2014). Mitos dalam Kepelbagaian. Edisi Pertama Johor Bahru: Perniagaan Jahabersa.
Mohd Shah (2000). Tambo Alam Naning. Edisi kedua. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Muhammad Syukri Salleh (1985). Pendekatan Musyawarah Dalam Pembangunan: Satu Pengucapan Awal. Pusat Islam dan Persatuan Mahasiswa Islam: Universiti Sains Malaysia. Capaian dimuat turun pada 4 Julai 2021 dari https://www.researchgate.net/publication/299449764_85_-_NADI_ISLAM_- _PENDEKATAN_MUSYAWARAH_DALAM_PEMBANGUNAN_SATU_PENGU
CAPAN_AWAL
Norazit Selat (1993). Konsep Asas Antropologi. Edisi Kedua. Dewan Bahasa dan Pustaka Kementerian Pendidikan Malaysia: Kuala Lumpur ___ (1996). Kaedah Penyelidikan Adat Istiadat, Adat Istiadat Melayu Melaka. Edisi Pertama. Zainal Abidin Borhan (peny). Batu Berendam, Melaka: Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP).
Nur Amirah Azaldin Mat Noor Mat Zain (2019). Sistem Pengurusan Tanah Adat Dalam Adat Pepatih. At-Tahkim, Vol. 9, No. 08.03. 2019. Capaian dimuat turun pada 4 Julai 2021 dari https://www.researchgate.net/publication/334389606_SISTEM_PENGURUSAN_TA NAH_ADAT_DALAM_ADAT_PEPATIH
Shahba (1951). Pusaka Naning. Sentosa Store: Kuala Pilah. (Teks Jawi).
Zainal Kling (1982). Sejarah Adat Perpatih Wilayah Naning di Melaka, Melaka Dahulu dan Sekarang. 42 – 51. Khoo Kay Kim (peny.) Persatuan Muzium Negara: Kuala Lumpur.