Naning merupakan sebuah rantau Minangkabau yang mempunyai hubungan kebudayaan langsung dengan Pagar Ruyong di Sumatera Barat. Penghijrahan orang Minang ke kawasan hulu Melaka pada abad ke-14 mewujudkan beberapa penempatan baru yang dikenali sebagai Nagari Nan Sambilan dan Naning merupakan sebahagian dari persekutuan ini. Interaksi sosial perantau Minang dengan orang asal mewujudkan sebuah asimilasi kebudayaan baharu. Naning adalah negeri yang mengamalkan sistem adat Perpatih dan konsep matrilineal dalam kehidupan sosial mereka.
Sangat penting ada usaha untuk mendalami sistem ilmu pengetahuan Islam orang Naning mengenai adaptasi pemikiran mereka terhadap dunia untuk membentuk sebuah kehidupan lengkap. Berdasarkan penyelidikan lepas, maklumat telah dikelaskan dalam konteks konvesional sehingga mewujudkan sentimen etnosentrik. Kerangka corak dalam sistem kebudayaan Naning harus dibentuk mengikut sistem kebudayaan tempatan untuk memahaminya secara jelas. Justeru, kajian lapangan adalah kaedah utama yang digunakan dalam mengeksplorasi kebudayaan setempat. Perkara penting dalam kebudayaan Naning diberi perhatian dan dianalisis mengikut kaedah antropologi kebudayaan untuk membuat kerangka mudah dalam konteks akademik. Penghasilan struktur kebudayaan mampu meningkatkan kefahaman umum terhadap institusi Naning. Justeru, penyelidikan ini akan menjadi sebuah panduan umum mengenai Naning dengan mengurangkan nilai etnosentrik. Penghasilan struktur dan pola kebudayaan yang tersusun menunjukkan masyarakat Naning telah membentuk sebuah konsep pemikiran teratur dalam menjalani kehidupan sebagai muslim.
Semangat
Kewujudan adat Perpatih Naning telah membantu orang tempatan untuk terus bertahan dengan pergerakan ekosistem yang sentiasa melingkari kehidupan sosial masyarakat setempat.
Penstrukturan sistem kebudayaan ini membentuk sebuah ilmu baharu dalam masyarakat tempatan dan dianggap sebagai penting dalam kehidupan. Justeru, kaedah pelaksanaa sistem ini secara hafalan oleh pemimpin tempatan untuk memudahkan urusan pentadbiran tanpa mengganggu keseimbangan antara ekosistem dengan masyarakat. Keseimbangan ekosistem penting untuk menjamin kelestarian kehidupan masyarakat tempatan kerana kelangsungan hidup mereka tergantung kepada alam sekeliling. Sebahagian besar aktiviti penyaraan dalam kehidupan masyarakat tempatan adalah bergantung kepada ekosistem semulajadi alam yang berada di sekeliling mereka. Ketidakseimbangan alam sekeliling bakal mengundang masalah atas kehidupan mereka dan hal ini dianggap sebuah bencana dalam masyarakat (Luqman, 2018:112).
Justeru, masyarakat perlu berkomunikasi dengan alam sekeliling jika berlakunya bencana yang dikaitkan dengan pencabulan sistem sedia ada. Pemikiran ini melahirkan sebuah menifestasi kepada kepercayaan terhadap kewujudan semangat yang menghuni alam semulajadi di sekeliling mereka (Misnon, 2014:68). Kebudayaan masyarakat semakin bercambah apabila berlakunya ritual tertentu yang diajarkan oleh individu yang mempunyai ilmu pengetahuan untuk berhubung dengan semangat ghaib.
Penyusuaian sistem kehidupan masyarakat Naning mencapai taraf yang lengkap apabila Islam dijadikan pedoman. Hasil asimilasi hukum al-Quran membentuk sistem ilmu pengetahuan yang membolehkan berlakunya perhubungan di antara manusia dengan manusia, alam sekeliling dan alam ghaib. Hasil menifestasi ini telah mencorakkan struktur sistem adat Perpatih Naning yang dijadikan sebagai manual utama dalam menjalani kehidupan seharian.
Berdasarkan sistem ilmu adat Perpatih Naning, masyarakat tempatan mampu membentuk sebuah organisasi yang saling melengkapi diantara satu sama lain seperti konsep kesukuan masyarakat Arab. Mereka berkebolehan menjalankan keseluruhan aktiviti dengan lancar dengan mencedok sistem pengetahuan Islam sehingga sistem adat Perpatih Naning telah mencapai status lengkap.
Konsep adat yang diguna pakai di Naning membentuk sebuah sistem kebudayaan yang lengkap. Keselarasan yang dibentuk adalah berdasarkan sistem ilmu pengetahuan tempatan yang merangkumi kepelbagaian aspek penting dalam kehidupan bermasyarakat. Menurut Zainal (1982:43), masyarakat Naning merupakan sebuah masyarakat yang mengamalkan sistem pertanian dalam bentuk kumpulan terutamanya penanaman padi. Berdasarkan konsep yang diamalkan masyarakat Naning ini maka secara tidak langsung berlakunya satu perhubungan kuat dalam anggota masyarakat tempatan. Kebergantungan diantara anggota dengan anggota yang lain dilihat memainkan peranan penting melestarikan keharmonian dalam kehidupan bermasyarakat ini. Oleh itu, sistem kebudayaan Naning adalah berpaksikan sistem kehidupan berkelompok dengan meletakkan setiap daripada anggotanya mempunyai peranan tertentu dalam masyarakat.