Pepatah `biar
mati anak, jangan mati adat' cukup sinonim dengan budaya masyarakat pengamal
adat Perpatih di Negeri Sembilan. Malah adat yang datang ke negeri ini sejak
abad ke-15 dari Minangkabau secara bergelombang, mula terasa bahang empayarnya
selepas abad ke-17.
Penghijrah
Minangkabau yang pada awalnya memilih untuk menetap di kawasan pedalaman
berikutan suasana alam yang sama di Negeri Sembilan, turut melabuhkan noktah di
situ selepas cuba bersembunyi daripada serangan lanun pantai.
Selepas itu,
dengan termeterainya satu perjanjian bersama atau loghat Negeri Sembilan -
pepauh antara Datuk Perpatih Pinang Nan Sebatang dengan Datuk Ketemenggongan,
maka satu perdamaian tercetus di mana kawasan laut diserahkan kepada Datuk
Ketemenggongan, manakala kawasan darat dipunyai oleh Datuk Perpatih.
Maka sehingga
hari ini, suasana itu terbukti apabila daerah Port Dickson bukan merupakan
pengamal adat Perpatih, sementara daerah seperti Rembau, Jelebu dan Kuala Pilah
dinobat sebagai antara pengikut kuat kepada adat ini.
Sejauh mana
masyarakat negara ini memahami tentang adat Perpatih? Adat Perpatih merupakan
suatu peraturan hidup yang sistematik dengan berteraskan keharmonian hidup
masyarakat yang diamalkan oleh orang Negeri Sembilan dan Naning di Melaka.
Sebagai satu
cara hidup, adat Perpatih mempunyai peraturan asas yang tidak boleh diubah
langsung. Perkara asas itu termasuklah hidup bersuku, mengira keturunan
daripada nasab ibu, perwarisan tanah pusaka dan lain-lain lagi.
Oleh yang
demikian, sistem adat Perpatih terdapat sistem perut dan suku. `Perut' adalah
unit terkecil di dalam sistem adat Perpatih dan beberapa `Perut' lain akan
membentuk `Suku'. Tiap-tiap `Perut' akan diikuti seorang `Buapak', sementara
setiap `Suku' diketuai oleh seorang `Lembaga'.
Selain itu
dalam sistem politik adat Perpatih terdapat juga jawatan Undang yang menerajui
Luak. Satu lagi keunikan ialah kehebatan sistem harta pusaka di mana barang
peninggalan itu dianggap pusaka seperti rumah, tanah, barang kemas dan
lain-lain yang hanya boleh diwarisi oleh anak perempuan sahaja.
Bila bercakap
tentang Adat Perpatih, kita tidak dapat lari daripada berbicara perihal Datuk
Lembaga, Buapak, Besar Waris, Ibu Soko. Ibu Soko adalah ibu-ibu waris yang
berkuasa menentukan pemerintah di setiap negeri, wilayah, kawasan yang
berkenaan. Di mana-mana wilayah adat perpatih, kuasa memerintah diberikan
kepada lelaki, tetapi kuasa memilih pemerintah itu adalah kuasa ibu-ibu soko
tadi. Dan kuasa mereka hanya setakat itu. Sebagai isteri, mereka tetap wajib
patuh kepada suami.
Di Negeri
Sembilan terdapat 12 suku di mana sembilan datang dari Minangkabau iaitu Paya
Kumbuh, Seri Lemak, Mungkal, Tanah Datar, Batu Belang, Tiga Batu, Tiga Nenek,
Seri Melenggeng dan Batu Hampar, sementara selebihnya satu dari Anak Acheh dan
dua lagi dari Anak Melaka.