PERUTUSAN RASMI

logo emblem emas naning
YM FRAME 8@0,75x

KEBAWAH KAUS YANG AMAT MULIA ORANG KAYA SERI RAJA MERAH

YAM DATO MOHD NAZROL BIN DATO PADUKA MAHAMAD SUPAR
DATO UNDANG NANING MELAKA KE-22

PERUTUSAN RASMI

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Salam sejahtera dan salam perpaduan.

 

Saya dengan penuh rasa tanggungjawab dan keprihatinan ingin menzahirkan pendirian tegas berhubung isu penghinaan terhadap institusi raja dan agama di negara ini. Sejak sekian lama, institusi raja menjadi payung kedaulatan negara, manakala agama menjadi asas kepada pembentukan akhlak, perpaduan dan kesejahteraan rakyat jelata.

 

Negara kita berdiri atas landasan Perlembagaan Persekutuan Malaysia, yang dengan jelas memperuntukkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan serta memelihara kedaulatan dan hak-hak Raja-Raja Melayu. Perkara ini bukan sekadar simbolik, tetapi merupakan asas penting dalam memastikan kestabilan dan keharmonian negara terus terpelihara.

 

Saya ingin menegaskan bahawa kebebasan bersuara yang dinikmati oleh rakyat hendaklah digunakan dengan penuh tanggungjawab dan berlandaskan undang-undang. Kebebasan tersebut tidak boleh disalahgunakan sehingga mencetuskan penghinaan, kebencian atau perpecahan dalam kalangan masyarakat.

 

Sehubungan itu, Saya mengingatkan bahawa undang-undang negara memperuntukkan tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menghina institusi raja dan agama. Antaranya termasuk Akta Hasutan 1948, yang melarang sebarang kecenderungan menghasut termasuk memperlekehkan institusi raja, serta Kanun Keseksaan Malaysia yang memperuntukkan hukuman bagi perbuatan yang melukakan perasaan agama atau menimbulkan permusuhan atas dasar kepercayaan.

 

Di era digital ini, Saya juga mengingatkan bahawa penyalahgunaan media sosial untuk menyebarkan penghinaan atau kandungan jelik tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Setiap perkataan yang dizahirkan di alam maya tetap tertakluk kepada undang-undang negara.

 

Saya menyeru seluruh rakyat agar sentiasa memelihara adab, menghormati institusi raja dan agama, serta menolak sebarang bentuk provokasi yang boleh menggugat keamanan negara. Perpaduan dan keharmonian yang kita kecapi hari ini adalah hasil daripada sikap saling menghormati yang telah lama diamalkan.

 

Akhir titah, Saya menegaskan bahawa sebarang tindakan yang mencabar kedaulatan institusi raja dan kesucian agama akan ditangani mengikut lunas undang-undang yang berkuat kuasa. Marilah kita bersama-sama mempertahankan kedaulatan negara dan memelihara keharmonian demi generasi yang akan datang.

 

Sekian, wabillahi taufik wal hidayah, wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.