INSTITUSI Raja tidak dapat dipisahkan dengan masyarakat
Melayu. Kedua-dua pihak, sama ada Raja mahupun rakyat saling memerlukan antara
satu sama lain.
Jatuh bangun sesebuah kerajaan seperti dibuktikan dalam
sejarah kerajaan atau kesultanan Melayu, terletak kepada kerjasama antara
kedua-duanya.
Justeru, Raja yang memerintah memerlukan kebijaksanaan,
manakala rakyat wajar memberikan ketaatan kepada Raja atau Sultan bagi
memastikan survival dan keunggulan sesebuah kerajaan.
Hakikat ini dinyatakan C C Brown dalam Sejarah Melayu atau
The Malay Annals bahawa negara hanya wujud selagi wujud seorang Raja berwibawa.
Dengan kata lain, Raja adalah simbol kepada kedaulatan, kemakmuran, perpaduan,
keharmonian dan kekuatan sesebuah masyarakat.
Selain berfungsi sebagai payung dan tonggak kekuatan
masyarakat Melayu, peranan Raja-Raja atau Kesultanan Melayu dalam kelestarian
dan pengembangan dakwah juga tidak boleh dinafikan.
Kesultanan Melayu-Islam masa silam sebagai contoh Melaka,
memainkan peranan aktif dalam proses dakwah dan Islamisasi. Kesungguhan
Raja-Raja dalam mempromosi dakwah Islamiah dicatatkan sejarawan tempatan dan
orang Barat.
Perkembangan dakwah Islamiah dalam institusi Raja Melayu
bermula dengan pemerintahan Sultan Iskandar Syah (nama asal sebelum Islam
adalah Parameswara).
Pemerintahan Islam di bawah pimpinan baginda menjadi asas
kepada perkembangan dan usaha melestarikan dakwah. Legasi kepemimpinan di bawah
Raja-Raja Melayu Islam, kemudian terus menjadikan Islam sebagai teras politik
kenegaraan.
Tome Pires, seorang penulis Portugis misalnya dalam The Suma
Oriental of Tome Pires mencatatkan bahawa Sultan Mohammad Syah memimpin semua
orang Melaka 'pada peringkat atasan dan peringkat bawahan' supaya memeluk
Islam. Beberapa Sultan di Melaka yang seterusnya hanya meneruskan apa dilakukan
Sultan Mohammad Syah.
Usaha mengembangkan Islam dan melestarikan dakwah Islamiah
antara lain dapat dilihat melalui gelaran kepada Raja-Raja Melayu yang berunsur
Islam seperti al-Sultan, khalifah al-mukminin dan al-mutawakkil.
Selain gelaran berunsurkan Islam, hukum diguna pakai bagi
negeri Melayu juga berdasarkan undang-undang atau syariat Islam.
Antara contoh ialah Hukum Kanun Melaka dan Batu Bersurat
Terengganu dengan tulisan Jawi yang diiktiraf sebagai satu daripada warisan
dunia yang bernilai oleh UNESCO.
Batu Bersurat ini antara lain menjelaskan mengenai hukum
fikah berkaitan persoalan jenayah, muamalat dan munakahat.
Budaya ilmu hasil pengaruh Islam juga begitu subur dan
semarak dalam lingkungan istana. Raja-Raja Melayu kelihatan begitu mencintai
ilmu dengan menjadikan istana sebagai pusat wacana keilmuan.
Sejarah Melayu misalnya, merakamkan bagaimana Sultan Mansor
Syah Melaka menjadikan kitab Durr al-Manzum karangan Maulana Abu Ishak sebagai
bahan bacaan atau telaah baginda.
Sultan Selangor Ke-5, Sultan Alauddin Shah yang memerintah
antara 1898 hingga 1938 pula dikatakan mengarang sebuah kitab tauhid. Baginda
juga dikatakan berdakwah menyampaikan mesej agama dengan menaiki mimbar
menyampaikan khutbah Jumaat dan khutbah dua hari raya di Masjid Alaudin Kuala
Langat Selangor.
Senario sejarah itu membuktikan Raja-Raja Melayu memainkan
peranan signifikan dalam konteks kelestarian dakwah Islamiah dan perkembangan
Islam. Perubahan dan peredaran zaman dalam institusi kesultanan dan Raja Melayu
bagaimanapun tidak mengganggu gugat keutuhan sistem beraja di negara ini.
Kewujudan sistem beraja dan kedudukan Raja-Raja Melayu hari
ini masih relevan, sekalipun berlaku perkembangan dan peredaran zaman.
Hari ini, institusi Raja bukan sahaja menjadi tonggak kepada
agama Islam dan orang Melayu, malah payung kepada keharmonian serta perpaduan
masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Hal ini termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 153
yang menyatakan Raja berperanan menjaga kedudukan orang Melayu tanpa
mengabaikan kedudukan dan kepentingan bangsa lain.
Ini bermaksud, Raja bukan hanya menjadi Raja atau ketua
kepada sesuatu bangsa atau golongan tertentu, malah memayungi kedaulatan negara
untuk memberi naungan saksama kepada setiap warga tanpa mengira kaum, agama dan
politik.
Meskipun ada usaha menghapuskan imuniti Raja-Raja Melayu dan
mempersoalkan kewujudan sistem beraja, kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara
Islam tetap dan amat memerlukan Raja atau Sultan sebagai payung atau penaung
dalam mempertahankan kedudukan Islam dan umat Islam di negara ini tanpa
menafikan hak kaum dan bangsa lain.
Bangsa lain di negara ini harus menghormati kontrak sosial
dan memahami bahawa Islam dan Melayu adalah agama serta bangsa teras di negara
ini.
Setiap negara ada agama dan bangsa teras serta dominan yang
perlu diiktiraf dan dihormati. Kefahaman bangsa lain terhadap kedudukan Islam
dan Melayu sebagai agama serta bangsa teras di negara ini akan menjamin
kestabilan, keharmonian dan kemakmuran negara.
Oleh itu, tidak sepatutnya ada pihak
cuba mempertikaikan kedudukan dan keistimewaan institusi Raja, bangsa dan
bahasa Melayu serta agama dan dakwah Islamiah seperti termaktub dalam
Perlembagaan Persekutuan.
-BH-