Ekonomi dan Harta
Berdasarkan catatan Mohd Shah (2000), terdapat tiga buah fasal yang menerangkan mengenai sistem ekonomi yang digunakan dalam keselarasan kebudayaan Naning. Sistem ekonomi masyarakat Naning mempunyai prinsip yang berlainan daripada sistem ekonomi umum yang menenkankan prinsip keperluan dalam memenuhi kehendak manusia dalam kepelbagaian perkara-perkara material dalam jumlah tidak terbatas (Lipsey, 1981:05). Prinsip masyarakat Naning terhadap ekonomi adalah cenderung kepada pandangan Meyers (Abdullah 1992:05) iaitu sebuah prinsip yang menekankan keperluan perkara-perkara asas dalam rumah tangga atau keluarga. Hal ini bermakna, konsep ekonomi Naning adalah bersifat abstrak, tiada pengukuran umum dalam menggambarkan proses pergerakkannya dan keluarga sebagai asas kepada sistem ekonomi.
Hasil dapatan daripada Mohd Shah (2000), sistem kebudayaan Naning memegang prinsip perkongsian ekonomi, batasan hak individu dan pengagihan sumber. Tiga prinsip ini dilihat menjadi dasar kepada sistem ekonomi orang Naning yang mengamalkan konsep kepentingan sesama suku. Terdapat beberapa perkara penting dalam proses ekonomi orang Naning iaitu sumber ekonomi dan kaedah pengagihannya menurut sistem ilmu pengetahuan tempatan. Jika diteliti dalam fasal-fasal yang dicatatkan Mohd Shah (2000), maka kepentingan ekonomi masyarakatnya dititikberatkan mengenai pengagihan hak seseorang anggota secara adil dalam fasal empat (Mohd Shah 2000:87), bab mengenai sukatan hantaran atau belanja perkahwinan pada fasal 15 (Mohd Shah 2000:341) dan bab penentuan harta pusaka dalam fasal 20 (Mohd Shah 2000:385).
Sistem ekonomi di Naning secara dalaman dipanggil sebagai pusaka iaitu sesuatu benda yang dianggap penting dalam kehidupan lalu boleh diperturunkan kepada generasi seterusnya.
Sungguhpun dalam sejarah Naning wujudnya sistem jual beli namun sistem itu wujud diluar lingkaran kebudayaan anggotanya. Menurut Abdullah Zakaria (1982:27), Naning dicatatkan pernah membuat urus niaga barang komoditi asas dengan Belanda dan Inggeris namun tidak ada berlakunya urusan perniagaan sesama anggotanya. Urusan perniagaan secara komersial adalah diluar kebudayaan masyarakat Naning kerana segala urusan ini diserahkan kepada pembesar waris iaitu Datuk Paduka Seri Shahbandar. Soal perniagaan melibatkan jual beli barangan tidak termasuk dalam konteks adat orang Naning kerana mereka termaktub kepada adat iaitu;
Adat nan tak kuning dek kunyit, Nan tak lemak dek santan, Nan tak lapok dek hujan, Nan tak lekang dek panas, Tak makan dek jual, Tak tertebus dek gadai,
Ekonomi masyarakat Naning dapat dibahagikan kepada dua bahagian iaitu pusaka suku dan pusaka dagang. Pusaka suku merupakan harta yang bersifat material atau abstrak yang menjadi hak milik sesebuah suku manakala pusaka dagang adalah harta yang dimiliki individu.
Secara umumnya, pusaka suku adalah harta warisan yang diurus takbir oleh Ibu Soko dan hasil daripada sumber ini harus dimanfaat bersama dalam anggotanya. Harta bersifat warisan suku adalah dilarang untuk dijual beli dan manfaatnya tidak boleh digunakan secara bersendirian atau peribadi. Perkara ini termaktub dalam adat berbunyi;
Mendapat sama labo (untung),
Tercicir sama rugi,
Hati kuman sama dicecah,
Hati gajah sama dilapah,
Bukit sama didaki lurah sama dituruni,
Macam aur dengan tebing,
Macam sokong dengan batas,
Saling sandar-menyandar,
Jika diteliti, ekonomi Naning hampir serupa dengan konsep Baitulmal dalam Islam.
Segala harta seperti rampasan perang, bayaran jizyah dan zakat akan dikumpulkan dalam suatu tempat untuk diuruskan. Perbezaan konsep ini hanya dibahagian pengurusan sahaja. Hal ini kerana, hasil yang dikumpulkan akan diurus dalam sesebuah suku itu sahaja. Ketua suku akan membahagikan hasil seperti padi dan tanaman lain mengikut keadaan dan situasi. Ketika musim menuai padi, segala hasil padi akan diletakkan dalam sebuah pondok yang disebut Rumah Padi atau Kuwi. Hasil ini akan dibahagikan secara adil kepada anak-anak buah mengikut populasi dan keperluan sesebuah keluarga.
Naning juga melaksanakan sistem ziroah atau zakat pertanian. Setiap musim penghasilan, wakil Datuk Naning akan bergerak ke kampong-kampung untuk mengutip zakat pertanian daripada ketua suku. Kadar yang diambil adalah lima peratus dari hasil tanaman yang didapatkan. Maka, perang Naning 1831 terjadi akibat penentangan Datuk Dol Said terhadap penghapusan sistem zakat pertanian yang diganti dengan cukai hasil sebanyak sepuluh peratus (Blagden, 1925 versi Luqman, 2018:252). Di Naning, keengganan individu menjalankan zakat tanaman akan diperangi seperti yang dilakukan Saidina Abu Bakar. Maka, peristiwa perbalahan antara Naning dan Inggeris berpunca dari keengganan seorang bernama Sudin untuk menzakatkan hasil tanaman kerana telah membayar cukai tanaman kepada Inggeris (Cave, 1989).